Wednesday, November 11, 2009

Sebuah Persahabatan

"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.."

Allah S.W.T. telah mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Namun, acapkali kita terlupa apakah sebenarnya yang dimaksudnya dengan sebuah persahabatan. Kita terlampau leka dengan persekitaran sekeliling. Sehinggalah sampai masanya sahabat kita pergi meninggalkan kita, barulah kita benar-benar mula memahami erti sebuah persahabatan.

Sesungguhnya dalam Islam, persahabatan adalah hubungan yang paling mulia. Dari situlah, kita akan mengerti 1001 makna kehidupan; keikhlasan, kesetiaan, kejujuran dan yang paling penting kemaafan. Sememangnya ‘kawan ketawa berdekah-dekah, kawan menangis sukar dicari’. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja. Oleh itu, adalah sebaik-baiknya kita berpegang teguh pada pepatah Arab, “bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Walaubagaimanapun, sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran daripada seseorang sahabat, kita seringkali terlupa bahawa dia juga begitu mengharapkan sedemikian rupa. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati apabila dia gagal menunaikan janjinya untk berada di sisi kita. Kita langsung tidak pernah memberikan dia kesempatan untuk menerangkan realiti yang sebenarnya. Bagi kita, alasan yang diberikannya hanya untuk menutup kesalahan dan membela diri kita semata-mata.

Dalam masa yang sama, kita terlupa juga yang kita pernah membiarkan dia ternanti-nanti kehadiran kita sewaktu dia benar-benar memerlukan seseorang untuk berkongsi kesedihan. Tanpa kita sedari, kita ada janji yang tidak ditepati bukan? Kita berikan dia dengan beribu-ribu alasan, “memaksa” dia menerima semuanya. Saat itu, terfikirkah kita akan perasaannya. Seperti insan biasa, tentunya dia pasti merasakan kekecewaan yang amat sangat tetapi sedarkah kita dia masih berdiri di situ dan mengekalkan sebuah senyuman paksa. Mengapa? Kerana mahu menggembirakan hati kita. Untung bukan punya sahabat seperti dia, sahabat yang akan mendengar segala rintihan, luahan perasaan kita. Segala rasa kecewa, ketakutan, harapan dan impian kita luahkan kepadanya dan dia pastinya berusaha bersungguh-sungguh memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Kita terlalu asyik menceritakan mengenai kehidupan kita sehingakan kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga punya cerita mahupun kisah yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar apabila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat, kerana dia hanyalah seorang manusia yang punya rasa takut, bimbang, sedih dan kecewa.Dia tentunya mempunyai kelemahan dan benar-benar memerlukan kawan sebagai kekuatan. Kita selalu melihat dia ketawa, gembira tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan yang kita langsung tidak mengerti tetapi jika kita cuba menjadi seorang sahabat seperti dia, mungkin kita akan mengetahui. Renungkanlah…..

1 comment: