Tuesday, November 10, 2009

Ketenangan


Ketenangan. Di mana kita boleh mencari 10 huruf ini? Adakah dengan mendengar alunan muzik, menyanyi, menari ataupun menangis. Malangnya setelah kita melakukan semua perkara tersebut, masih tidak kita ketemu jua dengan ketenangan yang kita harapkan. Lantaran itu, yang menjadi persoalan adalah dari manakah datangnya ketenangan yang kita benar-benar perlukan saat kita dipenuhi dengan pelbagai masalah? Jawapannya adalah mudah. Hanya dengan “mendekati Pencipta kita, Allah S.W.T.”. Sesungguhnya, hati orang yang senantiasa mengingati Allah, jiwanya akan pasti selalu berada dalam keadaan tenang dan tenteram. Itulah kunci kepada segala masalah dunia kita.

Tidak salah bukan untuk kita meluangkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran serta menunaikan solat sunat. Namun, pada masa kini, kita begitu mudah alpa mahupun lalai dibuai mimpi indah. Dan apabila kita ditimpa dengan masalah dan dugaan, kita mulalah memilih jalan singkat untuk mencapai ketenangan. Ada yang sanggup terjebak dalam penyalahgunaan dadah, meminum arak, dan tidak kurang juga yang membunuh diri. Justeru, adakah semua itu langkah yang terbaik untuk kita menyelesaikan masalah. Sudah tentu jawapannya “tidak”.

“Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Sesungguhnya, semua masalah yang melanda kita bagaikan ujian untuk Tuhan menguji sejauh mana kita mampu menzahirkan cinta, kesetiaan, keikhlasan kita kepada-Nya dalam keadaan susah dan juga senang. Justeru, hadapilah semua ujian-Nya dengan penuh keimanan, ketakwaan. Mudah-mudahan Dia akan mempermudahkan segala urusan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Memberikan kita ketenangan dan kedamaian sewaktu kita gundah gelana dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Ada kalanya, hidup itu seolah-olah seperti satu mimpi panjang yang entah kita juga kurang mengerti apa di dalamnya dan hanya akan sampai kepada penamatnya bila kematian menjemput kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Di manakah ketenangan itu?

Tenangnya air di laut
Kadang-kadang ia bergelora
Seakan sebuah cermin kehidupan
Ada kalanya berombak besar
Ada ketikanya berombak kecil

Perahu terumbang-ambing
Walau dikemudi mengikut arahnya
Sang Pengemudi menjadi bingung
Bila ombak memukul setinggi gunung
Di manakah ketenangan itu?

No comments:

Post a Comment