Sunday, June 6, 2010
Hadiah Terbaik
Hadiah 1
Hadiah terbaik kepada kawan adalah kesetiaan
Hadiah 2
Hadiah terbaik kepada musuh adalah kemaafan
Hadiah 3
Hadiah terbaik kepada ketua adalah khidmat
Hadiah 4
Hadiah terbaik kepada remaja adalah contoh terbaik
Hadiah 5
Hadiah terbaik kepada warga tua adalah hargai budi dan kesetiaan mereka
Hadiah 6
Hadiah terbaik kepada pasangan adalah cinta dan ketaatan
Hadiah 7
Hadiah terbaik kepada manusia adalah kebebasan
Hadiah 8
Hadiah terbaik kepada ibu bapa adalah doakan keampunan dan kesejahteraan mereka
Saturday, June 5, 2010
Bersangka Baiklah Pada Allah

Sewaktu saya sedang melayari internat saya telah terbaca sebuah kisah hasil nukilan seorang hamba Allah. Justeru, saya memilih untuk berkongsi kisah tersebut di blog ini. Harap anda sudi meluangkan masa membacanya.. =)
"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"
Saya tidak akan lupa kata-kata itu. Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.
Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar.
Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar. Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!
Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas.
Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.
"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.
Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.
Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.
Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan.
"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..
Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu.
"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak.
"Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.
"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)
Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.
Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku. Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!
Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.'
"Apa nak malu, janji saya maju. Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari.
Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'. Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah.
Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah
"While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.
Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya.
Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak.
"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)
Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."
Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak.
Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan. (Kisah ini pernah diterbitkan di Harakah tiga tahun lalu, sebelum menjadi wartawan)
"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku."
Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan. Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.
Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu.
Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk. Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari!
Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya. Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00). Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.
Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar.
Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf.. Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi.
Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan...
Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.
"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.
Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?
Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni. Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.
Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang.
Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata. Biarlah...
Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.
"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155)
Tulisan sepicing ini ataupun coretan caca marba yang tidak seberapa ini saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Tuhan, Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya.-azmDua Belas Aurat Wanita

Assalamualaikum
Agaknya sudah lama benar saya tidak mengupdate blog ini. Justeru, untuk entri pada kali ingin, saya ingin berkongsi mengenai sesuatu yang mungkin pada kita kaum hawa hanyalah perkara remeh-temeh sahaja namun sebenarnya tanpa kita sedar, kita telah melakukan dosa yang amat besar. Lantaran itu, renung-renungkanlah.. Mudah-mudahan kita mendapat pengajaran daripadanya. Insya-Allah.
1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng.
3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.
5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.
8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.
10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
Sumber:Ibnu