Wednesday, November 25, 2009

Bila cendekiawan mula berkata-kata...

KEJAYAAN

90% - Sikap

5% - Kebijaksanaan (Genius atau tak)

3% - Latar belakang (Sama ada keluarga berjawatan besar atau sebaliknya)

2% - Faktor lain-lain

Campur tambah semua peratus di atas kita akan dapat 100%...
Pesanan akhir, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri...

Sememangnya kejayaan itu bertitik tolak dari diri sendiri...

Tuesday, November 24, 2009

Nafsu- Yang manakah dirimu?

Nafsu- Satu istilah yang tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Ditakrifkan sebagai keinginan lahiriah seseorang, nafsu mempunyai kelasnya yang tersendiri :-

1. Nafsu Ammarah

Seperti yang telah dinyatakan dalam Surah Yusuf di permulaan juzu' 13, nafsu ini mengarah tuannya untuk mengerjakan maksiat. Nafsu ini juga menyebabkan manusia terpesona dengan duniawi- seperti kuasa, harta, perempuan dll. Perlu dijauhi oleh setiap muslim.

2. Nafsu Lawwamah

Nafsu ini muncul dalam al-Furqan dalam surah Al-Qiamah, ayat ke-2 yang bermaksud
"Dan aku (Allah) bersumpah dengan nafsu lawwamah(yang mencela tuannya)"
Nafsu ini senantiasa mengajak pemiliknya supaya mengerjakan maksiat, tetapi setelah dikerjakan kemungkaran itu dicela pula tuannya. Hampir semua umat Islam memiliki nafsu ini.

3. Nafsu Mutmainnah

"
Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba- hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaku." Surah Al-Fajr, ayat 27-30.

Nafsu ini merupakan tingkatan nafsu yang paling tinggi. Sentiasa mengajak pemiliknya mengerjakan amal soleh. Nafsu inilah yang banyak dimiliki oleh para ulama' dan para solihin.
Dijanjikan syurga bagi yang memilikinya.


Sekarang mari duduk berteleku, muhasabah diri. Duhai nafsuku, yang manakah tingkatan dirimu?

-Cahaya Petunjuk-



Wednesday, November 11, 2009

Sebuah Persahabatan

"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.."

Allah S.W.T. telah mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Namun, acapkali kita terlupa apakah sebenarnya yang dimaksudnya dengan sebuah persahabatan. Kita terlampau leka dengan persekitaran sekeliling. Sehinggalah sampai masanya sahabat kita pergi meninggalkan kita, barulah kita benar-benar mula memahami erti sebuah persahabatan.

Sesungguhnya dalam Islam, persahabatan adalah hubungan yang paling mulia. Dari situlah, kita akan mengerti 1001 makna kehidupan; keikhlasan, kesetiaan, kejujuran dan yang paling penting kemaafan. Sememangnya ‘kawan ketawa berdekah-dekah, kawan menangis sukar dicari’. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja. Oleh itu, adalah sebaik-baiknya kita berpegang teguh pada pepatah Arab, “bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Walaubagaimanapun, sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran daripada seseorang sahabat, kita seringkali terlupa bahawa dia juga begitu mengharapkan sedemikian rupa. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati apabila dia gagal menunaikan janjinya untk berada di sisi kita. Kita langsung tidak pernah memberikan dia kesempatan untuk menerangkan realiti yang sebenarnya. Bagi kita, alasan yang diberikannya hanya untuk menutup kesalahan dan membela diri kita semata-mata.

Dalam masa yang sama, kita terlupa juga yang kita pernah membiarkan dia ternanti-nanti kehadiran kita sewaktu dia benar-benar memerlukan seseorang untuk berkongsi kesedihan. Tanpa kita sedari, kita ada janji yang tidak ditepati bukan? Kita berikan dia dengan beribu-ribu alasan, “memaksa” dia menerima semuanya. Saat itu, terfikirkah kita akan perasaannya. Seperti insan biasa, tentunya dia pasti merasakan kekecewaan yang amat sangat tetapi sedarkah kita dia masih berdiri di situ dan mengekalkan sebuah senyuman paksa. Mengapa? Kerana mahu menggembirakan hati kita. Untung bukan punya sahabat seperti dia, sahabat yang akan mendengar segala rintihan, luahan perasaan kita. Segala rasa kecewa, ketakutan, harapan dan impian kita luahkan kepadanya dan dia pastinya berusaha bersungguh-sungguh memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Kita terlalu asyik menceritakan mengenai kehidupan kita sehingakan kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga punya cerita mahupun kisah yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar apabila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat, kerana dia hanyalah seorang manusia yang punya rasa takut, bimbang, sedih dan kecewa.Dia tentunya mempunyai kelemahan dan benar-benar memerlukan kawan sebagai kekuatan. Kita selalu melihat dia ketawa, gembira tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan yang kita langsung tidak mengerti tetapi jika kita cuba menjadi seorang sahabat seperti dia, mungkin kita akan mengetahui. Renungkanlah…..

Tuesday, November 10, 2009

Ketenangan


Ketenangan. Di mana kita boleh mencari 10 huruf ini? Adakah dengan mendengar alunan muzik, menyanyi, menari ataupun menangis. Malangnya setelah kita melakukan semua perkara tersebut, masih tidak kita ketemu jua dengan ketenangan yang kita harapkan. Lantaran itu, yang menjadi persoalan adalah dari manakah datangnya ketenangan yang kita benar-benar perlukan saat kita dipenuhi dengan pelbagai masalah? Jawapannya adalah mudah. Hanya dengan “mendekati Pencipta kita, Allah S.W.T.”. Sesungguhnya, hati orang yang senantiasa mengingati Allah, jiwanya akan pasti selalu berada dalam keadaan tenang dan tenteram. Itulah kunci kepada segala masalah dunia kita.

Tidak salah bukan untuk kita meluangkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran serta menunaikan solat sunat. Namun, pada masa kini, kita begitu mudah alpa mahupun lalai dibuai mimpi indah. Dan apabila kita ditimpa dengan masalah dan dugaan, kita mulalah memilih jalan singkat untuk mencapai ketenangan. Ada yang sanggup terjebak dalam penyalahgunaan dadah, meminum arak, dan tidak kurang juga yang membunuh diri. Justeru, adakah semua itu langkah yang terbaik untuk kita menyelesaikan masalah. Sudah tentu jawapannya “tidak”.

“Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Sesungguhnya, semua masalah yang melanda kita bagaikan ujian untuk Tuhan menguji sejauh mana kita mampu menzahirkan cinta, kesetiaan, keikhlasan kita kepada-Nya dalam keadaan susah dan juga senang. Justeru, hadapilah semua ujian-Nya dengan penuh keimanan, ketakwaan. Mudah-mudahan Dia akan mempermudahkan segala urusan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Memberikan kita ketenangan dan kedamaian sewaktu kita gundah gelana dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Ada kalanya, hidup itu seolah-olah seperti satu mimpi panjang yang entah kita juga kurang mengerti apa di dalamnya dan hanya akan sampai kepada penamatnya bila kematian menjemput kita kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Di manakah ketenangan itu?

Tenangnya air di laut
Kadang-kadang ia bergelora
Seakan sebuah cermin kehidupan
Ada kalanya berombak besar
Ada ketikanya berombak kecil

Perahu terumbang-ambing
Walau dikemudi mengikut arahnya
Sang Pengemudi menjadi bingung
Bila ombak memukul setinggi gunung
Di manakah ketenangan itu?

Monday, November 9, 2009

Sekadar Renungan

jikalau orang buat baik dibalas dengan baik, itu adalah perkara biasa.
jikalau orang buat jahat dibalas dengan jahat, itu adalah perkara biasa.
jikalau orang buat baik dibalas dengan jahat, itu adalah perkara biasa.
namun, jikalau orang buat jahat dibalasa dengan baik, itu adalah perkara luar biasa.


"hiduplah seperti pohon kayu yang lebat buahnya; hidup di tepi jalan dan dilempari orang dengan batu tetapi dibalas dengan buah" -Abu Bakar Sibli

Erti Kehidupan

Kehidupan kita pastinya penuh dengan suka duka. Ada kalanya kehidupan kita dihiasi dengan gelak ketawa, senyum riang. Namun, harus kita beringat juga ada kalanya kehidupan kita ini serabut dan sesak dengan pelbagai masalah, dugaan serta cabaran yang langsung tidak diundang. Dan pada waktu dan saat itulah, kita benar-benar memerlukan kesabaran dan ketabahan menghadapi semua ujian Tuhan. Dan juga melalui semua masalah, dugaan dan cabaranlah, kita mula mengerti erti kehidupan sebenar. Kita mula belajar erti kekuatan, keikhlasan, kemaafan, pertemuan, persahabatan, perpisahan dan sebagainya. Dan di situ jualah, kita terkapai-kapai mula mencari siapa diri kita yang sebetulnya. Ya,malangnya kita seringkali tewas. Kita menitiskan air mata. Kita menangis sepuas-puasnya. Kita meraung-raung sekuat-kuatnya, cuba menjelaskan betapa perit dan susahnya penderitaan yang kita alami. Sewaktu kita tersungkur, jarang pula yang sanggup menghulurkan tangan tetapi hanya bisa melihat dan terus berlalu pergi.Itulah realitinya.

Walaubagaimanapun, jangan biarkan kita terus dalam keadaan begitu. Bangun, jangan biarkan kita terus tersungkur. Biarpun sememang payah untuk kita bangkit tanpa ada pertolongan daripada sesiapa pun, teruskan maju dan maju. Kebahagian itu ada kalanya datang daripada diri kita sendiri dan bukannya daripada orang yang kita harapkan. Apa yang kita impikan tidak selalunya indah, justeru bersyukurlah dengan apa yang terjadi. Biarkan ia berlalu kerana kehidupan ini bagaikan suatu perjalanan yang di mana di dalamnya kita tentunya akan menempuhi 1001 makna kehidupan yang sebenar.

‘The road to success is not straight. There is a curve called failure. A loop called confussion. Speed bumps called friends. Red lights called enemies. Caution lights called family. You will flat tyres called jobs. But if you have a spare called determination. An engine called perseverance. A driver called God. You will make it to a place called success.’

Sewaktu saat senang dan susah, janganlah kita lupa kepada Pencipta kita, Allah S.W.T. Bertawakal dan banyakkanlah berdoa kepada-Nya setelah kita berusaha sedaya upaya. Tuhan itu lebih mengerti tentang segala-galanya. Dialah yang akan mengurniakan hidayah untuk memandu kita pada landasan yang sepatutnya. Dialah yang akan memberi ketenangan dan kedamaian kepada kita sewaktu kita benar-benar memerlukannya. Dialah yang akan datang saat kita terumbang-ambing dalam arus kehidupan. Lantaran itu, Allah S.W.T. adalah tempat yang di mana kita patut mencurah cinta, kesetiaan, keikhlasan kita yang sejati kepada-Nya. Bersabarlah dengan semua ujian-Nya kerana tanpa kita sedari, setelah kita berjaya menghadapi segala pancaroba, kita telah menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Insya-Allah…

“Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar.” (Surah al Baqarah ayat 155)